Papar berita pilihan

UM METERAI MOU BERSAMA LPPKN

[ admin ] [ 11-06-2013 ]
 
UM Materai MOU Bersama LPPKN

KUALA LUMPUR, 1 APRIL 2013 – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Malaya (UM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah dimeterai di sini, hari ini. MoU ini, merupakan yang pertama di antara UM dengan LPPKN, telah ditandatangani oleh Dr. Anjli Panalal Doshi, Pemangku Ketua Pengarah LPPKN dan Profesor Dr. Awg Bulgiba Bin Awg Mahmud, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UM.

 

MoU ini berkuat kuasa bagi tempoh lima (5) tahun mulai 1 Mac 2013 hingga 28 Februari 2018, dan ia boleh dilanjutkan untuk suatu tempoh yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua pihak.

 

Dengan adanya MoU ini, LPPKN dan UM akan berusaha untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengeratkan kerjasama teknikal dalam bidang-bidang yang berikut:

  • menggalak dan menjalankan penyelidikan kependudukan, pembangunan keluarga dan kesihatan reproduktif
  • melaksanakan program latihan kepada pegawai dan kakitangan, termasuk pertukaran pegawai dan kakitangan antara kedua-dua pihak bagi tujuan latihan praktikal;
  • menggalakkan penggunaan data LPPKN oleh pelajar UM tertakluk kepada peraturan LPPKN;
  • menaja aktiviti penyelidikan yang memberi manfaat bersama;
  • berkongsi hasil penyelidikan, penerbitan akademik dan maklumat berkaitan;
  • menganjur aktiviti atau program yang berkenaan dengan bidang kerjasama; dan
  • mengadakan bidang kerjasama lain selaras dengan objektif MoU ini.

Di bawah MoU ini, Unit Pengajian Kependudukan (UPK) di bawah Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran akan menyelaskan aktiviti kerjasama dengan LPPKN, dengan penglibatan pelbagai fakulti dan pusat di UM. Ahli UPK Pengajian Kependudukan adalah terdiri dari penyelidik dari agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan Universiti tempatan. Justeru itu, UPK ini boleh memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam membawa bersama ramai penyelidik dari pelbagai universiti dan agensi.

 

Para penyelidik LPPKN dan UM akan memberi tumpuan kepada penyelidikan dalam bidang yang dikenalpastikan seperti berikut:

  • Penurunan fertiliti dan objektif pertumbuhan penduduk jangka panjang (termasuk masalah penjagaan anak bagi wanita yang(bekerja)
  • Migrasi dalam negeri, pengagihan semula penduduk dan urbanisasi (perbandaran)
  • Migrasi antarabangsa (pengantungan kepada buruh asing), dan disaspora
  • Kesihatan reproduktif (termasuk remaja dan wargatua), kadar penggunaan kontraseptif yang rendah)
  • Isu keluarga dan gender
  • Isu warga tua (perlindungan keselamatan sosial) dan penuaan aktif dan produktif
  • Pendidikan dan modal insan
  • Isu data dan penyelidikan demografi

Selain itu, pihak LPPKN dan Unit Pengajian Kependudukan sedang merancang untuk menganjurkan satu persidangan antarabangsa mengenai migrasi antarabangsa pada 11 Julai 2013 sempena Hari Penduduk Sedunia yang diraikan setiap tahun. Penyelidik dari negara anggota ASEAN dan Australia serta pegawai kanan kerajaan dijangka ke persidangan ini untuk bersama-sama membincang isu isu yang memerlukan pengubahsuaian dalam dasar dan program.

 
<< Back
 
CCM 2.0 EDi - Copyright © 2008 - 2017 Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur, MALAYSIA. http://www.um.edu.my